Wednesday 29 August 2012

Jika Harga Minyak Naik Lagi

Apabila kita berkata tentang minyak (sumber tenaga petroleum), ianya sesuatu fenomena sejagat. Setiap negara di dunia ini memerlukan sumber tenaga ini. Kerana itulah, barangsiapa yang menguasai simpanan minyak dunia, dialah yang akan menguasai ekonomi dunia.

Petroleum adalah sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Maka ianya semakin lama semakin sedikit dan manusia akan berebut untuk mendapatkan sumber minyak yang semakin sedikit itu. Mengikut amalan ekonomi, apabila sesuatu produk itu kurang di pasaran dan permintaan terhadap produk tersebut meningkat, ianya akan menyebabkan harga produk itu melambung tinggi. Begitu juga dengan harga minyak.
PENGGUNAAN MAKIN BANYAK

Cuba kita perhatikan saban hari di Malaysia, kita dapat perhatikan bilangan kereta yang semakin meningkat. Setiap bulan syarikat automotif akan memperkenalkan model baru dan permintaan terhadap model baru menjadi-jadi permintaannya.

Nombor plat kereta yang semakin cepat bertukar juga menunjukkan bilangan kenderaan di atas jalan raya semakin banyak! Belum lagi dikira kenderaan yang dijual di Kedai Kereta terpakai yang banyak 'tersadai'. Jalan raya semakin sesak.

Sebuah rumah pula kebiasaannya akan mempunyai sekurang-kurangnya 2 buah kereta. Cuma kita bayangkan untuk 5 tahun lagi, adakah jalan raya dan tempat parking kereta kita akan mencukupi?

Banyak projek pelebaran jalan raya dilakukan tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Apa tidaknya, projek melebarkan jalan hanya boleh siap dalam tempoh dua tahun tetapi dalam tempoh 2 tahun tersebut bilangan kenderaan meningkat berkali-kali ganda dari sebelumnya.

Hasilnya adalah sama. Tetap sesak! Apabila bilangan kenderaan makin banyak, maka semakin meningkat penggunaan minyak di negara kita. Itu di negara kita, belum kita cerita negara lain yang lebih tinggi penggunaannya.

DUNIA SEMAKIN HURU-HARA

Baru-baru ini, terjadinya rusuhan rakyat di negara jiran kita iaitu Indonesia. Rusuhan terjadi apabila kerajaan Indonesia mengumumkan kenaikan harga minyak bermula dari 1 April 2012. Begitu juga di negara jiran kita, Thailand.

Harga minyak di negara mereka jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara kita. Apabila kita membandingkan taraf hidup masyarakat mereka jauh lebih rendah daripada kita, pastinya mereka berasa lebih tertekan.

   

Di negara kita juga apa kurangnya, rakyat akan marah apabila harga minyak petrol naik. Yang paling terjejas ialah golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana kerana lebih banyak wang perlu digunakan untuk kos pengangkutan.

Bagi pekerja awam pastinya boleh mendesak kerajaan melalui CUEPACS untuk menaikkan gaji, tetapi bagaimana pula dengan pekerja sektor swasta? Kenaikan gaji bagi pekerja swasta bukannya satu peluang yang besar.

Ironinya, apabila harga minyak naik maka semua harga barangan akan naik di pasaran. Harga barangan naik disebabkan oleh peningkatan kos pengangkutan yang mendadak. Mujur kita masih mendapat subsidi oleh kerajaan yang dapat memberi harga yang lebih murah daripada harga pasaran yang sepatutnya.

Rakyat masih lagi boleh berlibur dan makan angin walaupun kos pengangkutan semakin meningkat. Jika subsidi ditarik balik oleh kerajaan, maka akan terjadinya rusuhan yang besar di Malaysia.

KEMPEN HARGA MINYAK TURUN

Ada seorang ahli politik Malaysia yang berjanji akan menurunkan harga minyak jika beliau menang dalam piliharaya akan datang. Satu kempen yang sedap didengar oleh rakyat, siapa yang tidak mahu mendapat harga yang lebih murah daripada biasa? Pastinya harga yang lebih murah dapat mengurangkan kos hidup rakyat sehari-harian.

Apa yang saya khuatiri ialah jika beliau diberi mandat tetapi tidak dapat melaksanakannya. Atau hanya dapat melaksanakan dalam tempoh yang sedikit sahaja (sekadar menunaikan janji, selepas tidak mampu naikkan harga semula). Atau juga akan menyalahkan kerajaan lama kerana tidak meninggalkan wang yang banyak untuk menampung subsidi rakyat.

Pastinya akan menyedihkan jika beliau memberi alasan sebegitu. Senario yang terjadi sekarang tidak memungkinkan harga minyak akan turun dan terus turun (ramalan). Belum dapat dipastikan lagi sampai bilakah kita dapat merasai harga minyak seperti harga ini.

Tiada siapa yang mampu menjanjikannya. Apa pun, ianya terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin negara untuk menyelesaikan masalah ini.

ADAKAH KITA MENSYUKURI NIKMAT-NYA?

Sewaktu mengisi minyak, berapa ramaikah di antara kita yang mengucapkan ALHAMDULILLAH? Sangat jarang kita mengingati pemberian nikmat Allah ini termasuklah saya yang kadang-kadang terlupa. Syukur pada Allah Yang Maha Memberi nikmat berupa sumber minyak yang membolehkan kita bergerak ke mana.

Tak kira siapa, orang beriman atau tidak beriman, Allah tetap memberikan nikmat kepada hamba-hamba-Nya bergerak di bumi Allah dan mengambil manfaat daripada sumber minyak ini. Kadang-kadang, isu minyak naik harga dan kempen menurunkan harga minyak menyebabkan kita bergaduh dan LUPA mensyukuri nikmat Allah yang sangat berguna kepada kita ini.

Jika harga minyak naik lagi, apa yang kita akan lakukan?

NOTA : Apakah yang akan terjadi jika Allah menarik nikmat ini daripada kita? Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan kita mengharapkan-Nya! Wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment