Friday 31 August 2012

BERSIH Yang Membersihkan?



1. Pembangkang kata Pilihanraya di Malaysia berat sebelah. Terlalu banyak pengundi hantu katanya. Kerana itulah mereka adakan BERSIH bagi menuntut pilihanraya yang telus dari kerajaan.

2. Banyak yang SPR buat untuk menjadikan Pilihanraya bersih daripada 'kekotoran'. Peti undi yang lut sinar, penggunaan dakwat kekal banyak memberi ketelusan. Tapi mereka masih tidak puas hati lagi dengan perubahan itu.

3. Bagi saya, penubuhan BERSIH hanya mahu mencetuskan kekecohan khas untuk menjatuhkan maruah kerajaan. Mereka mahu orang luar melihat 'kebangkitan' rakyat Malaysia untuk menentang kerajaan. Bukankah rusuhan atau demonstrasi itu besar impaknya dan dapat meraih simpati masyarakat antarabangsa? Mereka mahu katakan "kami dizalimi kerajaan dan minta pertolongan anda!".

4. Jika Pilihanraya berat sebelah dan dikawal kerajaan, mengapa BN membiarkan Parlimen Permatang Pauh terus dimenangi oleh DS Anwar Ibrahim? Bukankah Anwar adalah musuh ketat BN? Mengapa kerajaan tidak mengagalkan kemenangan Anwar itu?

5. Jika Pilihanraya berat sebelah, mengapa Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak (kini BN) boleh jatuh ke tangan pembangkang? Dan Kelantan masih dapat dikuasai oleh PAS. Kalau kerajaan berat sebelah, dah lama PAS tersungkur di Kelantan 'disebabkan pengundi hantu yang keluar dari gua itu'. Mereka boleh menang dalam pilihanraya, adakah itu berat sebelah.

6. Jawapannya satu, selagi belum menang, pilihanraya tetap tidak adil bagi mereka. Sama juga hal di mahkamah, jika mereka kalah dikatanya UMNO bayar Hakim. Jika menang, 'inilah mahkamah yang paling adil di dunia!".

7. Mereka kurang isu. Kerajaan banyak memberi kemudahan dan subsidi kepada rakyat, sehinggakan yuran pengajian universiti orang pembangkang pun kerajaan tanggung. Belum lagi disebut petrol bersubsidi yang mereka isi ke tangki kereta untuk pergi berkempen menjatuhkan kerajaan.

8. Apabila tiada isu untuk dipertikaikan, mereka akan bangkitkan sentimen membenci kerajaan di kalangan rakyat. Sifirnya mudah, kalau orang dah benci, bagi sedekah pun dikatakan berjudi. Sentimen kebencian itulah menjadi senjata utama pembangkang menjatuhkan kerajaan. Kerana sentimen kebencian itulah tertubuhnya BERSIH.

9. Orang yang menggunakan demonstrasi untuk menjatuhkan orang lain akan jatuh dengan cara orang lain pula menjatuhkannya dengan cara demonstrasi. Insyaallah.

Wallahua'lam.

Wednesday 29 August 2012

Ini Bukan Lagu Raya


1. Buat masa ini ramai orang bercerita tentang Hudud. Tidak kira di pihak pembangkang ataupun kerajaan. Termasuk juga orang bukan Islam turut bercerita tentang Hudud.

2. Persoalannya, adalah kita mengetahui tentang Hudud? Adakah semua orang Islam sudah hadam dengan hukum ini dan cara pelaksanaannya? Ramai orang mengetahui bahawa Hudud itu rejam sampai mati bagi penzina dan potong tangan bagi yang mencuri. Tidakkah fahaman ini akan mengelirukan orang ramai yang mengatakan hukum ini zalim jika tidak diterangkan dengan sebaiknya?

3. Ramai orang yang berjuang untuk melaksanakannya, tetapi tidak ramai yang mahu menjelaskannya. Sudah adakah draf undang-undang Hudud jikalau esok kita akan mula melaksanakannya? Sudah bersediakah kita dengan Hakim dan peguam-peguam yang arif dalam bidang ini?

4. Saya amat khuatir akan ada sesuatu yang buruk jika undang-undang ini dilaksanakan tanpa persediaan yang rapi dan kefahaman daripada golongan Muslim. Hudud sangat terperinci hukumannya, bukan main tangkap dan hukum. Tanpa persediaan takut-takut orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Ketika itu, bukan salah hukum yang Allah turunkan tetapi salah pelaksana yang tidak adil. Cakap memang senang.

5. Orang bukan Islam seharusnya tidak bersuara dalam hal ini jika mereka tidak mengetahui tentang hukum ini. Saya puji kenyataan dari pemimpin politik Non-Muslim dari Gerakan : "Saya tidak boleh komen tentang Hudud sebab saya kurang arif tentang hukumnya".

6. Namun apa yang pelik bagi siapa yang memikirkan, mengapakah isu Hudud ini timbul kembali? Orang cakap, BN apabila tiba musim pilihanraya mula buat banyak projek pembangunan, disebut orang sebagai projek 'mee segera'. Tetapi bagi PAS pula mereka akan memainkan isu Hudud apabila dekat pilihanraya. Perasankah anda dengan situasi ini?

7. PAS tahu sangat sukar untuk melaksanakan hukum Hudud di Malaysia. Dengan cabaran daripada Non-Muslim pasti akan menjadikan pelaksanaanya semakin mustahil. Tetapi PAS tahu, isu Hudud ini sensitif bagi orang Melayu Islam. Hukum Allah haram untuk ditolak, mudah bagi mereka untuk memerangkap mana-mana ahli politik yang menolak Hudud. Apabila bersuara tidak sama dengan PAS, akan menjadi bahan kempen, katanya pemimpin ini itu zalim dan sebagainya.

8. Bagi saya, UMNO bukannya 'menolak' Hudud dengan erti kata menolak hukum Allah, tetapi persediaan belum ada dan masanya belum tiba. Alasannya juga sama dengan Parti Pembangkang yang mahu menyelesaikan hal lain dahulu sebelum melaksanakan hukum Hudud. Ketua Pembangkang juga ada mengatakan hukum Hudud bukan agenda Pakatan Rakyat dan tiada dalam Buku Jingga. Tidakkah sama sahaja alasannya?

9. Apabila tanya kepada Kedah bila nak buat hukum Hudud, katanya "Tunggu Kelantan buat dulu". Tanya Kelantan, "Ambo dok buak Draf lagi". Tanya Selangor pula, "Hukum Hudud tak termasuk dalam agenda kami". PAS kata UMNO tak ikhlas laksana Hudud, tanya balik kepada PAS adakah mereka juga ikhlas memperjuangkan Hudud?

10. Allah sebenarnya menguji kita semua. Dalam soal perpaduan pun tak boleh bersatu inikan pula nak laksana Hudud. Pembangunan dapat dilaksana tanpa bersatu, pendidikan boleh dilaksana tanpa bersatu, tapi Hudud tak dapat dilaksana tanpa perpaduan.

11. Saya secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum ini. Tetapi laksanakannya dengan harmoni tanpa persengketaan sesama Islam. Duduk semeja dan bukannya lawan berlawan di antara satu sama lain. Allah sedang memerhatikan kita dengan apa yang kita lakukan.

12. Bak kata Ustaz Kazim : "Asal nak pilihanraya, sebut Hudud. Ni bukan takbir raya, dan ini bukan lagu raya. Lagu raya hanya nak dimain dekat-dekat raya. Dekat pilihanraya main isu Hudud. Habis pilihanraya, lupa. Mai pilihanraya lagi kita nak buat Hudud. Habis pilihanraya lupa balik. Ini namanya lagu raya".

Akhbar Mereka, Isu Kita


"Berapa harganya, Auntie?", saya bertanya. "Dua ringgit saja", beliau menjawab dengan senyuman.

Petang itu, saya ke kedai runcit untuk membeli Masking Tape. Semasa mahu membayar di kaunter, saya memerhatikan senaskah surat khabar berbahasa China yang dibaca oleh wanita Cina itu (tauke kedai). Bukannya mahu membaca, malah saya sendiri tidak tahu apa yang dituliskannya. Tetapi ada suatu perkara yang membuatkan saya terfikir.

Apa yang dibaca oleh wanita Cina itu? Di dalam akhbar itu, saya ternampak gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Apa yang ditulis saya sendiri tidak pasti. Yang pastinya, berita di dalam akhbar Cina itu berkisar tentang masalah politik yang melanda orang Melayu. Manakan tidaknya, gambar ahli politik berbangsa Melayu tertera di dalam akhbar itu, pasti hal politik yang dibincangkannya. Apa yang dibincangkan, saya tidak tahu. Entah benar atau tidak.

Masjid Yang Menyedihkan

1. Negeri Selangor diperintah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Bermakna, struktur kepimpinan akan berubah termasuklah kepimpinan masjid di setiap kawasan di negeri Selangor.

2. Apabila berbicara tentang masjid, kita dapat lihat terdapat banyak masjid yang mula aktif dengan program-program ilmuan yang memberi manfaat kepada rakyat. Alhamdulillah, tahniah kepada AJK Masjid yang proaktif untuk menarik jemaah beribadat kepada Allah.

3. Namun, ada sebuah masjid yang lmenyedihkan apabila terkenang kembali perubahan kepimpinannya. Akibat rakus dengan kemenangan di peringkat DUN, habis semua AJK asal Masjid tersebut 'dibuang' dari jawatan khususnya dari ahli BN. Ahli PR di kawasan itu tak sampai 10 orang dan jawatan AJK diberikan kepada individu yang jarang sekali datang ke masjid atau duduk di luar kawasan. Yang penting orang dia, penyokong PR.

4. Apa yang terjadi? Ceramah agama hampir tiada. Imam pula kejap ada kejap tak ada. Bilal pula tidak mahu menggalas tugas Imam apabila Imam tidak hadir. Aktiviti memang tiada langsung. Jika ada aktiviti pula tidak diwar-warkan secara bersungguh-sungguh sehinggakan ahli kariah tidak maklum dengan aktivti masjidm Akhirnya masjid sunyi dari imarah. Sangat menyedihkan.

5. Saya bukan menyalahkan kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi orang-orang mentadbir masjid tersebut. Jika tidak mempunyai kekuatan untuk menguruskannya, tidaklah salah jika AJK Masjid turut melibatkan ahli kariah yang lain. Ketepikan soal parti kerana masjid adalah tempat kesatuan umat Islam. Apa salahnya jika kita bersatu hati untuk mengimarahkan masjid di tempat kita.

6. Politik di masjid akan menyebabkan jemaah menjadi meluat dengan keadaan ini. Ibadatnya kurang dan kesatuan umat akan berpecah-berai.

7. Jika berbicara tentang imarahkan masjid, kita kena satu. Jika bincang tentang masalah sosial, kita kena satu. Membantu masyarakat yang susah, kita kena satu. Umat Islam adalah SATU, tiada yang membezakan kita.

8. Bangsa kita sama, makanan kita sama, pertuturan kita sama, baju kita sama, sekolah kita sama, cuma bendera sahaja lain-lain! Biar berbeza parti tapi bersatu hati demi memajukan bangsa Melayu Islam kita ini. 

9. Masjid lambang kesatuan umat Islam. Jika umat Islam bersatu, orang bukan Islam tak berani nak cakap apa-apa tentang Islam. Ke arah masjid yang lebih baik. Insyaallah..

Jika Harga Minyak Naik Lagi

Apabila kita berkata tentang minyak (sumber tenaga petroleum), ianya sesuatu fenomena sejagat. Setiap negara di dunia ini memerlukan sumber tenaga ini. Kerana itulah, barangsiapa yang menguasai simpanan minyak dunia, dialah yang akan menguasai ekonomi dunia.

Petroleum adalah sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Maka ianya semakin lama semakin sedikit dan manusia akan berebut untuk mendapatkan sumber minyak yang semakin sedikit itu. Mengikut amalan ekonomi, apabila sesuatu produk itu kurang di pasaran dan permintaan terhadap produk tersebut meningkat, ianya akan menyebabkan harga produk itu melambung tinggi. Begitu juga dengan harga minyak.

Parasit Dalam PAS


1. Fenomena yang berlaku dalam UMNO  : Ramai orang yang bijak pandai (golongan profesional) nak masuk UMNO. Tetapi ketua cawangan atau ketua bahagian UMNO tak terima mereka (golongan profesional) masuk dalam UMNO. Mengapa? Kerana ketua-ketua UMNO takut jawatan mereka di dalam UMNO akan tergugat jika golongan berpelajaran masuk UMNO.

2. Kebiasaannya orang berpelajaran akan lebih diterima menjadi pemimpin.

3. Perkara ini diakui sendiri oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dahulu, UMNO tutup peluang kepada orang-orang berpelajaran ini.

Fenomena Artis Bertudung & Ustazah Segera



1. Jika kita lihat di dada-dada akhbar, semakin ramai dari golongan artis sudah berhijrah ke arah agama. Alhamdulillah.

2. Yang lelaki daripada rambut berwarna sudah bertukar kepada jubah dan serban. Yang wanita pula, daripada berpakaian seksi dan freehair, sudah bertudung litup bergaya muslimah.

3. Fenomena ini sangat baik kerana artis adalah medium yang boleh mempengaruhi masyarakat untuk berubah.

4. Jika dulu para peminat asyik meniru fesyen artis yang seksi, sekarang sudah ramai peminat meniru perubahan yang dibuat oleh artis pujaan mereka iaitu ke arah kebaikkan.

5. Namun, saya sangat tidak selesa dengan perubahan yang dikaitkan dengan politik.

Kebebasan Bersuara 2x5


1. Saya dipelawa seorang rakan untuk menziarahi seorang Ustaz yang agak terkenal di Gombak. Ustaz ini orang kuat PAS di sana dan dikatakan seangkatan dengan Ustaz Nasrudin Tantawi dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dalam mentarbiah ahli PAS khususnya ahli-ahli muda.

2. Sepanjang perbualan kami, beliau merungut dengan JAWI yang menahan beliau kerana disyaki mengadakan kuliah agama berunsur politik di masjid. Katanya, orang-orang JAWI diperbodohkan oleh BN bagi menghalang pengembangan kempen PAS di masjid.

3. Katanya lagi, tidak ada yang salah dengan apa yang diperkatakan dalam kuliah itu, semuanya adalah benar dan beliau yakin BN tergugat dengan apa yang diperkatakan. Kerana itulah BN mengarahkan pegawai JAWI untuk menahannya.

Benarkah Mereka Memperjuangkan Agama?



"Mereka sekarang dah sokong Islam. Buktinya mereka nak bergabung dengan kita dalam pilihanraya", kata seorang teman kepada saya satu ketika dahulu.

"Mereka kalau jumpa kita peluk kita. Memang macam sahabat. Mereka dah sokong Islam!", tambahnya lagi.

Saya berasa keliru, hanya kerana mereka mahu bergabung dengan kamu, kamu kata mereka terima Islam? Saya rasa istilah 'agama' itu patut diubah kerana agama bukan hak eksklusif mana-mana parti. Ubahlah kepada, mereka bergabung dengan parti kita kerana mereka mahu kongsi kuasa dengan kita, itu lebih baik.

UMNO & PAS : Akidah Adalah Sama



Mungkin nukilan ini tidak disenangi oleh sesetengah pihak kerana nukilan ini menyeru kepada perpaduan. Maklumlah fenomena ‘bendera’ lain-lain menyebabkan kita ini berpecah dan bermasam muka.

Saya harap para pembaca dapat berlapang dada dengan nukilan ini. Saya baru sahaja mengikuti Kursus Pemantapan Jati Diri di Kuala Selangor. Pengisiannya cukup mantap dan berkisar tentang pentingnya perpaduan dalam memperjuangkan agama dan bangsa.

Alhamdulillah, saya mendapat ilmu yang baru di dalam kursus ini terutamanya tentang isu-isu semasa dan meningkatkan jati diri saya sebagai seorang Islam dan berbangsa Melayu.

Bermulanya Di Sini

Dengan Lafaz Bismillahi Rahmanirrahim.

Saya mulakan penulisan di blog ini. Masyarakat Melayu Islam di Malaysia kian berpecah. Makanan mereka sama, pakaian kita sama, bahasa kita sama.

Tetapi disebabkan berlainan parti, kita sudah berpecah! Semoga mendapat manfaat daripada apa yang dinukilkan di sini. Insya-Allah.

Ikhlas,