Wednesday 29 August 2012

Ini Bukan Lagu Raya


1. Buat masa ini ramai orang bercerita tentang Hudud. Tidak kira di pihak pembangkang ataupun kerajaan. Termasuk juga orang bukan Islam turut bercerita tentang Hudud.

2. Persoalannya, adalah kita mengetahui tentang Hudud? Adakah semua orang Islam sudah hadam dengan hukum ini dan cara pelaksanaannya? Ramai orang mengetahui bahawa Hudud itu rejam sampai mati bagi penzina dan potong tangan bagi yang mencuri. Tidakkah fahaman ini akan mengelirukan orang ramai yang mengatakan hukum ini zalim jika tidak diterangkan dengan sebaiknya?

3. Ramai orang yang berjuang untuk melaksanakannya, tetapi tidak ramai yang mahu menjelaskannya. Sudah adakah draf undang-undang Hudud jikalau esok kita akan mula melaksanakannya? Sudah bersediakah kita dengan Hakim dan peguam-peguam yang arif dalam bidang ini?

4. Saya amat khuatir akan ada sesuatu yang buruk jika undang-undang ini dilaksanakan tanpa persediaan yang rapi dan kefahaman daripada golongan Muslim. Hudud sangat terperinci hukumannya, bukan main tangkap dan hukum. Tanpa persediaan takut-takut orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Ketika itu, bukan salah hukum yang Allah turunkan tetapi salah pelaksana yang tidak adil. Cakap memang senang.

5. Orang bukan Islam seharusnya tidak bersuara dalam hal ini jika mereka tidak mengetahui tentang hukum ini. Saya puji kenyataan dari pemimpin politik Non-Muslim dari Gerakan : "Saya tidak boleh komen tentang Hudud sebab saya kurang arif tentang hukumnya".

6. Namun apa yang pelik bagi siapa yang memikirkan, mengapakah isu Hudud ini timbul kembali? Orang cakap, BN apabila tiba musim pilihanraya mula buat banyak projek pembangunan, disebut orang sebagai projek 'mee segera'. Tetapi bagi PAS pula mereka akan memainkan isu Hudud apabila dekat pilihanraya. Perasankah anda dengan situasi ini?

7. PAS tahu sangat sukar untuk melaksanakan hukum Hudud di Malaysia. Dengan cabaran daripada Non-Muslim pasti akan menjadikan pelaksanaanya semakin mustahil. Tetapi PAS tahu, isu Hudud ini sensitif bagi orang Melayu Islam. Hukum Allah haram untuk ditolak, mudah bagi mereka untuk memerangkap mana-mana ahli politik yang menolak Hudud. Apabila bersuara tidak sama dengan PAS, akan menjadi bahan kempen, katanya pemimpin ini itu zalim dan sebagainya.

8. Bagi saya, UMNO bukannya 'menolak' Hudud dengan erti kata menolak hukum Allah, tetapi persediaan belum ada dan masanya belum tiba. Alasannya juga sama dengan Parti Pembangkang yang mahu menyelesaikan hal lain dahulu sebelum melaksanakan hukum Hudud. Ketua Pembangkang juga ada mengatakan hukum Hudud bukan agenda Pakatan Rakyat dan tiada dalam Buku Jingga. Tidakkah sama sahaja alasannya?

9. Apabila tanya kepada Kedah bila nak buat hukum Hudud, katanya "Tunggu Kelantan buat dulu". Tanya Kelantan, "Ambo dok buak Draf lagi". Tanya Selangor pula, "Hukum Hudud tak termasuk dalam agenda kami". PAS kata UMNO tak ikhlas laksana Hudud, tanya balik kepada PAS adakah mereka juga ikhlas memperjuangkan Hudud?

10. Allah sebenarnya menguji kita semua. Dalam soal perpaduan pun tak boleh bersatu inikan pula nak laksana Hudud. Pembangunan dapat dilaksana tanpa bersatu, pendidikan boleh dilaksana tanpa bersatu, tapi Hudud tak dapat dilaksana tanpa perpaduan.

11. Saya secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum ini. Tetapi laksanakannya dengan harmoni tanpa persengketaan sesama Islam. Duduk semeja dan bukannya lawan berlawan di antara satu sama lain. Allah sedang memerhatikan kita dengan apa yang kita lakukan.

12. Bak kata Ustaz Kazim : "Asal nak pilihanraya, sebut Hudud. Ni bukan takbir raya, dan ini bukan lagu raya. Lagu raya hanya nak dimain dekat-dekat raya. Dekat pilihanraya main isu Hudud. Habis pilihanraya, lupa. Mai pilihanraya lagi kita nak buat Hudud. Habis pilihanraya lupa balik. Ini namanya lagu raya".

0 comments:

Post a Comment